FELDA KOTA GELANGGI 03
Kota Gelanggi adalah sebuah kerajaan yang tua. Mengikut Dr. W. Linehan, "A History of Pahang" (1936) bahawa Kota Gelanggi dulu bergelar Gelang Kiu (Ganggayu) dalam bahasa Thai bererti "Treasure house of Jewels" dalam bahasa Inggeris.
Tun Abdul Razak pernah memberitahu pemberita selepas pembukaan rasmi PPTR, Sungai Tekam pada 3 Februari 1972 bahawa kerajaan yang tertua di negeri Pahang ialah Kerajaan Gelang Kiu yang sekarang sebagai Kota Gelanggi. Kota Gelanggi terletak sekitar 25km dari bandar Jerantut.
Kawasan Padang Kangsa termasuklah kampung-kampung seperti Bandar, Perian, Kampung Masjid, Pulau Tawar, dan Telok dipanggil sebagai 'Gelombang Tujuh'. Dikatakan Padang Kangsa sebagai base sokongan kepada Kota Gelanggi.
Kerajaan Ganggayu pernah dikalahkan oleh angkatan tentera Raja Suran. Ganggayu dikatakan sebuah negara besar, berkota batu hitam. Sejarah Melayu memperlihatkan pertembungan antara rakyat Keling dan rakyat Siam. Rakyat Keling merupakan tentera Raja Suran manakala rakyat Siam adalah tentera Raja Culan di Ganggayu.
Tentera Siam Ganggayu melawan tentera Keling Raja Suran seperti ditulis oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu menunjukkan bahawa aktifnya peranan Siam di negeri-negeri Semenanjung. Ahli sejarah menamakan Raja Suran sebagai Rajendra Chola 1 yang menyeberangi Selat Melaka menuju Gangga Negara, Beruas.
Sesudah itu beliau meneruskan ekspedisinya hingga ke Ganggayu (Gelang Kiu) pada tahun 1025. Raja Suran akhirnya mengahwini Puteri Onang Kio anak perempuan Raja Culan.
Kota Gelanggi dikatakan sebagai "tempat itu sangat cantik dan peliknya" apabila pemerintah Pahang, Bendahara Seri Wak Raja Wan Ahmad melakukan lawatan dengan sambutan oleh Imam Perang Indera Gajah di Pulau Tawar (Hikayat Pahang).
Bendahara Wan Ahmad dikatakan tertarik dengan cerita legenda dikatakan terdapat seorang perempuan yang sangat cantik di Kota Gelanggi. Ini memperlihatkan bagaimana Kota Gelanggi dikenal dan pemerintah ketika itu begitu kagum terhadap legenda kota tersebut.
Ini dapat dihubungkan dengan peranan kawasan ini semenjak zaman purba hingga ke zaman "pelarian" Maharaja Dewa Sura (Gabenor Siam) dikejar angkatan Melaka pada abad ke 15. Ia menjadi laluan rentas ke Jeram Koi mungkin setelah dirasakan tidak mampu bertahan atau bersembunyi di Kota Gelanggi yang telah diketahui oleh angkatan Melaka.
Kemudian setelah Maharaja Dewa Sura ditangkap, Sultan Mansur Syah telah mengahwini Puteri Wanang Seri anak perempuan Maharaja Dewa Sura. Hasilnya melahirkan Raja Muhammad yang telah menikam hingga mati anak Tun Perak kerana tersepak bola raga terkena tanjak Raja Muhammad. Raja Muhammad ini dihantar ke Pahang menjadi raja Pahang dengan gelaran Sultan Muhammad Shah I (1470-1475).
Kota Gelanggi juga menjadi tempat perlindungan dan tempat "beramal" bagi para pahlawan zaman menentang perluasan kuasa Inggeris di Pahang seperti Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Tamadun persekitaran yang mungkin belum pernah ditimbulkan setakat ini ialah kewujudan "negara" Kangsa Indera. Kangsa Indera mungkin merupakan sebuah "negara" atau pusat tamadun yang terletak dalam mukim Pulau Tawar, Jerantut sama seperti Kota Gelanggi. Antara kedua-dua "negara' Gelanggi dan Kangsa Indera mungkin bersifat gandingan persahabatan dalam menegakkan daulat masing-masing.
Kota Gelanggi dan Kangsa Indera juga dikaitkan mempunyai hubungan dengan kewujudan Tamadun di sekitar pesisiran Sungai Tembeling yang pernah diperkatakan oleh Chau Ju-Kua, pengembara dan ahli sejarah China (1225) merujuk kepada negara Tan-ma-ling di Semenanjung Tanah Melayu.